Tuesday 23 April 2024

ZIARAH KUBUR,TENGOK BENDANG & LEMBU

 Catatan minggu lepas tapi baru nak publish

Petang hari raya,saya bersama Achik & Cella ke kuburan arwah ayah.Hujan ringan beberapa hari terus menghijaukan rumput yang telah kering sekian lama akibat kemarau.Padahal baru beberapa hari sebelum tu kawasan kuburan kering kontang hanya nampak tanah.


Pic kubur tahun lepas.
Kuburan kampung kami ini agak luas tetapi penghuni alam barzah ini tidaklah ramai mana..Maklumlah kampung kecik saja.Tapi kebelakangan ini ada juga penduduk kampung lain dikebumikan dikuburan kampung ini.Mungkin kuburan kampung mereka sudah penuh.Dulu masa saya kanak kanak kampung kami hanya lebih kurang 40 buah rumah sahaja kalau tak salah.Tapi dulu walaupun rumah sikit tapi semua jenis anak ramaišŸ¤­..sebab tu dulu mriah riuh rendah.Sekarang pun ada la hampir 100 buah rumah.30 tahun sudah saya bermastautin @ KL iaitu bermula zaman study hingga kini membuatkan ramai warga kampung sudah tidak say kenali terutama yang muda-muda.Bila mereka bertamu pada pagi raya...itulah peluang saya berkenal-kenalan dengan mereka.
Kampung kami ni walau kecik tapi terbahagi 2 bahagian kerana ditengah- tengahnya dipisahlan oleh sawah bendang dan paya.
Bahagian belah pintu masuk kampung lebih cantik dan meriah kerana ada padang bola,kedai,rumah ketua kampung dan kebanyakan penghuninya orang muda dan ramai kanak-kanak.Seberang sini belah rumah mak..kebanyakan warga tua dan tiada lagi kanak-kanak.


Rasanya generasi kanak-kanak yang terakhir MAYAH & THE GANG.....
Nasib baik Cella Mayah & The Gang lahir hampir sebaya Cella.Dapatlah Cella merasa zaman kanak-kanak dikampung.Harus berterima kasih kepada Mayah & The Gang kerana mebawa Cella & Haikal merasai pengalaman jadi anak kampung beraya bersama keliling kampung.
Juga memberikan pengalaman berharga yang pasti akan menjadi kenangan manis MEMANCING IKAN DIPARIT untuk Cella dan Haikal.

Kini,Mayah juga sudah bekerja di KL...seorang lagi gang mereka( tak ingat nama)  juga sudah berpindah ke KL mengikut keluarga.Manakala Syasha pula sudah berkahwin tahun lepas  dan tidak lama lagi bakal menjadi ibu.

Selepas generasi Mayah & The Gang...rasanya dah tak ada lagi kelahiran di kampung bahagian seberang sini.Yang ada kanak-kanak hanya seberang pintu masuk kampung.Cuma nasib baiklah kami menumpang tuah perkuburan dan surau baharu yang dibina berhampiran rumah mak.Maka Hari Raya lebih meriah pada pagi nya di rumah mak kerana hampir seluruh penduduk kampung datang solat sunat hari raya dan jemaah surau akan berkunjung  ke rumah mak dan sekitar seusai solat atau yang berziarah ke kubur juga akan singgah beraya.Juga kerana mak merupakan salah seorang wsrga emas kampung yang masih ada.Memang menjadi kebiasaan di mana manak kan... raya,rumah yang masih ada warga emas akan menjadi rumah yang meriah kerana akan dikunjungi.Ya Allah,panjangkanlah usia barokah emak saya..šŸ¤²


Keluar dari pagar kubur...akan melalui jalan bawah  pokok setoi besar ni.Dulu masa saya masih kanak-kanak,rumah lama kami di kampung Tok Wan..memang kami kena lalu jalan bawah pokok keriang tepi kubur.
Ada peristiwa seram bercampur lucu di jalan tepi kubur ini..
Pernah saya ceritakan dalam posting  SYAWAL KE-3: ZIARAH KUBUR & MENJEJAK MASA LALU..kat sini

Pokok Setoi ni seingat saya masa zaman saya kanak-kanak pun pokoknya dah sebesar ini.Hingga sekarang masih macam tu..Awet muda betul pokok setoi ni kan..hihihi...

Tapi tu lah...dulu kawasan ni sangat meriah dengan riuh rendah suara kanak-kanak sebaya saya.Juga kerana ia menjadi jalan utama untuk penduduk kampung berhampiran untuk ke kebun dan sawah mereka di kampung kami.Kebun dan sawah di kampung kami luas tapi kebanyakan dipunyai oleh penduduk kampung lain.Mereka asalnya penduduk kampung ni tetapi kata mak ,zaman Bintang Tiga dulu( zaman keganasan komunis) ramai yang berpindah ke penempatan baru kerana kampung kami adalah kawasan hitam yang didiami komunis.Menurut cerita warga emas Pak Lang Sarik..belakang rumah kami yang kaya dengan pokok buluh manis( rebung manis) adalah kubu komunis.
Kata mak semua penduduk kampung diarahkan berpindah ke perkampungan kampung baru yang diawasi homeguard sepanjang komunis bermaharaja lela.
Kemudian,bila komunis sudah beredar dan dirasakan selamat  barulah penduduk dibenarkan kembali ke kampung.Itupun tidak ramai yang berani kembali.Hanya Tok Wan dan beberapa family lain yang kembali ke kampung dan yang lain memilih menetap di beberapa buah perkampungan lain,namun masih mengusahankan kebun dan sawah di kampung ini.Mungkin itu antara sebab penduduk kampung kami dulu tak ramai tetapi semua mempunyi pertalian persaudaraan.Cuma semakin lama pertalian saudara semakin jauh.Dari sepupu dah berkembang menjadi dua pupu..
tiga pupu..
Dan akhirnya menjadi saudara bau bau bacang sahaja.




Menjejak kampung lama kami disebelah barat perkuburan.Ini adalah sawah kepunyaan mak.Musim kemarau,yang tinggal hanya tunggul tunggul jerami padi selepas musim menuai.Mak dah tak usahakan sawah ni,sebaliknya mak pajak kepada salah seorang penduduk kampung.

Hanya Cella yang selalu berpeluang ikut dan  menjejak dan mendengar cerita masa lalu saya dan Achik


Ada penampakan rebung...Nasib baik hari raya...malas nak berkotor kotor peluh..Kalau bukan hari raya...dah selamat dah rebung ni hihihi


Rumpun buluh bersama beberapa pucuk rebung dipinggir sawah.



Masih di kawasan kampung lama..
Dulu tengah bendang ni adalah laluan utama menghubungkan seberang sini dan seberang sana kampung kami.Nampak dua bahagian kampung kami iaitu  seberang sana dan sini   yang dipisahkan  bendang ditengahnya.Bendang tu membentuk "U" dan tempat kami sedang berdiri ni hampir hujung "U" tidak nampak  rumah orang.Kalau berdiri di keluk tengah  "U" akan nampak kampung kami yabg seberang sana. Jalannya dulu  agak luas dan rata..dan boleh dilalui kenderaan.Kini landskapnya sudah 360*  berubah..
Jalan yang dulu sibuk sudah sepi dan  hampir hilang kesan sejarahnya.Ketika saya darjah 2 jalan baru dibina di keliling kampung menggantikan jalan kecil ditengah sawah tu.Semakin lama jalan lama itu semakin hilang kesannya dek ditarah untuk meluasakan dan mendalamkan sawah bendang.
Kawasan kampung lama juga semakin berkurangan jumlah rumah.Nasib baik juga masa saya  tingkatan satu,mak mengambil keputusan berpindah  dari tanah Tokwan di kampung lama & membina rumah baharu di tanah kepunyaan mak yang terletak dibahagian timur kampung.Walaupun awalnya hanya ada 2 rumah sahaja.Tapi beberapa tahun kemudian,jumlah rumah bertambah & pembinaan surau baharu berdekatan rumah mak sejak 20 tahun yang lalu sangat memberi impak yang baik terutama bulan Ramadhan dan hari raya menjadikan rumah mak menerima tempias kemeriahannya.
Namun sejak Achik berpindah balik dari KL  ke Kedah lebih 15 tahun yang lepas,mak juga turut berpindah lagi ke pekan pula tinggal bersama Achik.Beberapa tahun kemudian saya juga dikurniakan rezeki memiliki rumah tidak jauh dari rumah Achik..membolehkan mak bertukar angin jika mahukan privacy.
Namun,setiap hari mak tetap akan balik menjenguk kampung dengan menunggang motosikal lebih kurang 40km++ untuk perjalanan pergi dan balik.Begitu juga dengan kami.Setiap kali balik Kedah,maka tidak sah tanpa pulang menjenguk kampung.Kadang kami masak nasi dan lauk & balik makan kat rumah kampung.Hari Raya pula menjadi kewajipan kami untuk beraya dan menanti tetamu  di rumah kampung hingga menjelang maghrib.Walau masak memasak dilalukam dirumah kat pekan namun,hari raya pertama wajib lah di kampung seharian


Jom ..teruskan lagi menyusuri tepi bendang ..


Kerana raya kali ini jatuhnya dalam musim panas kemarau,maka pemandangan sawah padi kering merekah.Banyak lembu-lembu dilepas bebas kerana musim menuai sudah selesai.Nanti bila hujan kembali turun dan sawah akan ditanam padi,tuan lembu harus menangkap semua lembu mereka dan tambat atau kandangkan agar tidak merosakkan tanaman padi.
Dulu kami juga ada bela lembu.Kini tiadak lagi kerana bela lembu kena komit setiap hari Nak nasi makan minum bagai..Lembu terakhir peliharaan kami adalah tahun 90-an..
Lepas tu dah tak bela lembu..
Ish jari ni banyak ja nak taip apa yg terlintas difikiran kerana kalau valik kampung tu kan...setiap yang dipandang disekeliling ada kisah dan kenangannya...
Lain kali lah sambung lagi...


Thursday 18 April 2024

BUAH MERTAJAM NOSTALGIA & CERITA ACHIK KENA SENGAT IKAN KELI MASA ZAMAN KANAK-KANAK

 Pernah dengar Buah Mertajam?Kalau tak pernah dengar buah mertajam....Bukit Mertajam pernah dengar dak?

Haaaa...Bukit Mertajam kat Penang tu tau kan...Haaa..ni la nak tunjuk ruoa pokok dan buah mertajam... Agaknya nama Bukit Mertajam tu sempena nama pokok mertajam ni la kot..


Minggu lepas masa jalan jalan petang raya ke rumah jiran mak kat kampung...kami ternampak pokok mertajam di tepi jalan sedang berbuah dan masak pulak tu..

Terus tidak lepaskan peluang mengait setangkai buahnya..

Sudah lebih 20 tahun rasanya tidak menjamah wild fruit ni...hihihi



Buah Mertajam yang sudah masak 
Rupa buahnya seakan buah belinjau tetapi lebih lembut..

Daunnya seakan daun rambutan tetapi  tidak licin macam daun rambutan....seakan velvet

 

Saya dan Achik cuba mencapai dengan tangan  ranting yang berbuah ...sayangnya tak tercapai dek tangan...hihihi
Cella tukang rakam video...
Beberapa kali rakaman tergendala kerana banyak motor lalu lalang..hihihi


Akhirnya dengan menggunakan sebatang galah kayu panjang yang bercabang dihujungnya dapatlah mengait seranting buah mertajam yang sedang masak hitam..



Pokok mertajam biasanya berbunga pada musim kemarau iaitu sekitar bulam Februari hingga mac.Bunganya seakan bunga rambutan dan bunga belinjau.

Putik buahnya bewarna hijau dan beransur merah apabila hampir matang dan seterusnya hitam berkilat apabila matang sempurna.

Rasa buah belum matang agak kelat dan apabila matang rasanya isinya manis- manis kelat.Dimakan bersama kulit dan dalam ada satu biji dan ia tidaklah lekang.Tekstur isinya lembut seakan buah blueberry cuma sedikit kelat dan manis.Menjadi kegemaran burung burung liar yang suka bertenggek didahan mertajam.Juga santapan sang tupai dan keluang yang berterbangan dimalam hari.


Hanya saya yang mencicip buah  mertajam ni.Cella tak sudi untuk mencuba walau saya dah umpan rasanya seperti blueberry šŸ« šŸ¤£


Achik pula memang memang bukan pemakan macam saya..sebab tu Achik slimšŸ’ƒ.Banyak makanan yang Achik tidak pernah jamah kerana pelbagai faktor.Antaranya tidak suka rasanya,tidak berminat dan memang tidak mahu mencubašŸ¤­

Zaman kanak-kanak saya..agak lasak dan degil dalam diam.Banyak perkara yang mak larang,saya lakukan dalam diam.Antaranya masuk hutan cari buah-buah hutan seperti buah kemunting,senduduk,buah rotan,buah kekek,buah cenderai,buah gelam dan termasuk juga buah mertajam ni.Biasanya saya lakukan waktu petang masa balik dari kelas fardhu Ain..
Waktu macam tu biasanya mak takda kat rumah kerana mencari kayu api etc .
Kadang mandi carok,mandi parit dan mandi paya dan cari siput dan cari ikan  bersama kawan kawan hingga pernah kena belasah dengan mak lašŸ¤£.
Selalunya saya lakukan semua aktiviti tu sembunyi sembunyi tanpa pengetahuan mak.Kalau kebetulan saya kena mengasuh adik(Achik) jarang la saya buat semua tu sebab takut Achik jadi spy mak...pecah rahsia memang sakitlah saya kena belasah dengan mak.

Ada sekali tu musim cuti sekolah saya ikut Midah,Normah & Seli mencari ikan di hujung lahar iaitu hujung kampung kami.Dulu ikan bendang memang banyak.Masa tu musim kemarau bulan 12 sekolah tengah cuti..Saya darjah 4 dan Achik 5 ke 6  tahun gitu la...

Kami jumpa kubang kerbau yang penuh dengan ikan keli yang terperangkap dalam lumpur kerana musim kemarau.Midah,Normah & Seli ajak tangkap ikan keli.Saya dah pesan pada Achik agar tidak turun dalam kubang yang penuh ikan keli tu kerana ikan keli memang bersengat tajam.Kami anak kampung ada cara untuk pegang dan tangkap keli agar tidak kena sengatannya yang berbisa tu.Sedang seronok menangkap keli..tetiba dengar suara Achik meraung...
Pusing belakang,tengok rupanya entah bila Achik menyelinap turun dalam kubang keli tanpa saya sedar.Di tapak kakinya tergantung seekor anak keli dengan sengatnya terbenam dalam isi tapak kaki Achik.

Semua panik tak tau nak buat apa bila lihat anak keli terlekat ditapak kaki Achik.
Midah terus cabut anak keli dari kaki Achik.Seli pecahkan kepala anak keli tu dan korek otak anak keli tu untuk tampal pada bekas sengatan di kaki Achik.Itu antara petua orang kampung untuk kurangkan bisa sengatan keli.Namun kaki Achik semakin membengkak dan tangisan Achik tidak dapat dihentikan lagi.
Midah,Normah dan Seli segera bawa Achik ke telaga rumah mereka dan basuh semua kesan selut pada Achik.Kaki Achik dilekatkan otak ikan keli dan dibalut dengan kain batik buruk.Semua dah tak pedulikan tangkapan ikan keli yang penuh timba tu dibiarkan sahaja di kubang tersebut.
Kami semua berdoa agar kaki Achik segera sembuh tanpa pengetahuan mak saya.Namun,harapan kami adalah mustahil..!

Maghrib dah semakin hampir..Waktu maghrib kami semua harus pergi mengaji Qur'an kat rumah Teh Zali. Matahari dah hampir tenggelam.Hari makin gelap,namun kaki Achik makin bengkak dan tak boleh jalan langsung.

Nak tak nak..Midah,Normah dan Seli bergilir kokkong Achik( dukung atas belakang) dan hantar saya dan Achik balik.Sampai rumah,nampak mak sedang bersembang dengan Tok Don kat pelantar rumah sambil membasuh pinggan.

Achik nampak saja mak,terus meraung macam kena histeria.Mak pula nampak kaki Achik berbalut kain dan dengar teriakan Achik.Saya nampak mak terus terjun dari pelantar rumah menerpa Achik.

Midah,Normah dan Seli cuba menerangkan pada mak apa yang berlaku.Tapi mak dah tak dengar apa-apa. Tangan mak terus capai mayang kelapa yang gugur depan halaman.Mak belasah saya cukup-cukup.Meraung saya kesakitan mengalahkan sakitnya Achik kena sengat keli...
Midah,Normah dan Seli tak mampu buat apa -apa..Hanya terlopong melihat saya dibelasah emak.

Dalam panik tu mak lupa untuk nak tengok kaki Achik,sebaliknya mak hanya fikir untuk  belasah saya hinggalah mak dihalang dan dihalang  oleh Tok Don agar menghentikan belasah saya..
Agaknya masa tu baru mak teringat untuk tengok luka Achik.
Nasib baik ada Tok Don meredakan marah mak pada saya dan agaknya mak baru tersedar yang tindakan mak sudah berlebihan. Ditambah pulak waktu maghrib,agaknya hasutan syaitonnirrojim menguasai amarah mak...tu yang mak belasah saya tak ingat dunia..
Bila ditarik oleh Tok Don dan ditenangkan oleh Tok Don,baru mak berhenti belasah saya.Mak terdiam  dan terus mendapatkan Achik.
Masa tu Achik sudah berhenti menangis dek terkejut mendengar tangisan saya yang lebih kuat daripada tangisannya..šŸ¤£šŸ¤£šŸ¤£šŸ¤£

Kesempatan tu saya gunakan untuk naik rumah dan ambil selendang dan muqaddam dan saya bersama Midah,Normah & Seli menyelinap terus ke rumah Teh Zali untuk ngaji Qur'an.

Aduh,time tu la pulak,rumah Teh Zali didatangi saudaranya dari jauh dan ngaji Qur'an dibatalkan pada malam tu.Terpaksa la kami semua..Midah,Normah,Seli,Rohani,Mek Rodiah,Maliah dan beberapa orang lagi balik awal kerana ngaji Qur'an dibatalkan..
Macamana ni...nak ngadap mak lagi ni..Tapi hikmah jugak la ngaji batal.Kalau tak,pastilah semua orang tahu saya kena belasah dengan mak dan pasti menjadi ejekan sepanjang ngaji qur'an tu..Hihihihi

Sampai rumah,saya nampak mak sedang tuam kaki Achik dengan tungku panas yang dibalut kain macam tungku orang bersalin tu untuk kurangkan bengkak.Mak tidak lagi memandang saya.Saya agak mak mungkin kesal kerana belasah saya dengan teruk tadi....(
(atau sebenarnya mak dah meluat nak pandang sayašŸ¤£)Mungkin mak tak berniat nak belasah saya seteruk itu tapi dek panik dan hasutan syaitonirrojim menjadikan mak  marah dengan kedegilan saya.Mak terbelasah saya dengan teruk.Mak dah berkali pesan jangan main tempat bahaya tapi biasalah kan..mana yang mak larang..itulah yang kita nak buat...
Terimalah akibatnya...šŸ˜­šŸ¤­šŸ¤£

Malam tu saya tidur awal tanpa makan malam.
Masuk saja rumah lepas balik dari mengaji tak jadi tu..saya terus gantung kelambu.Rumah kami masa tu hanya pondok kecik takda bilik..Hanya kelambu menjadi pemisah waktu tidur..
Terus masuk kelambu dan berselubung dalam selimut macam orang deman kura.Bila dengar tapak kaki ayah pijak lantai buluh pelantar rumah,menandakan ayah dah balik dari telaga...lagi la kecut oerut takut ayah belasah lagi sekali lepas mak.
Terus pura-pura lena dalam selimut...tak tau bila betul betul terlena....

Kadang kadang saya sengaja ulang cerita peristiwa tu depan mak...Saja nak buat mak rasa bersalahšŸ¤­..Apapun itu semua adalah kenangan masa lalu yang mendidik dan memanusiakan saya untuk menjadi diri hari ini....

Namun ...
Hingga sekarang saya dendam dengan ikan kelišŸ¤£šŸ¤£šŸ¤£šŸ¤£

BUAH BETIK DI TEMBOK SAWAH

 

Buah betik di tembok tepi sawah


Buah betik musim panas...masaknya merah dan isinya manis sangat..


Pokok betik ni dah tua..
Dah 4 tahun umurnya..
Kalau manusia...dah nak masuk tadika la kiranya...hihihi
Batang pucuknya patah
Tapi Allah tumbuhkan cabangny dan kekal berbuah lebat


Pokok asal 2021
Batangnya lurus tak bercabang..
Buahnya besar tapi ada yang kecil tak sekata.
Bila pucuknya patah....
Ia membentuk dedahan baharu dan berbuah

Semakin banyak cabang...
Jadi semakin banyak buah


Bila cabang baharu...saiz buah lebih sekata

Balik raya baru ni 3 biji buahnya masak


Buahnya masak kuning di pohon...
Capai dengan tangan sahaja...
Alhamdulillah rezeki  tanah bertuah..